Thursday, December 13, 2012

Pelari Obor

Mengenali rijal-rijal yang bersama dalam mengobor dakwah di bumiku ini adalah satu kenikmatan terbesar daripada Allah s.w.t. Mengenali mereka, sejarahnya, sumbangannya, pengorbanannya, membuatkan diri terasa kecil, namun mereka mampu mengangkat semangat untuk aku turut sama berlari membawa obor yang sama. Alhamdulillah.

Mereka adalah rijal yang dipilih Allah untuk mengemban satu misi yang besar. Membakar di jiwa suatu hamasah yang membara, berani mengambil azimah dan sanggup mengorbankan masa depan yang diidam-idamkan demi menapakkan sebuah legasi dakwah di bumi bertuah, Sarawak.


Generasi demi generasi berlalu ditambah dan diganti dengan pelapis yang baru. Jiwa-jiwa yang dikumpulkan diberi kefahaman dan dirangsang untuk bergerak, walaupun mempunyai latar belakang yang bercampur aduk, namun diselaraskan dengan taujihat dalam sebuah proses pembaikpulih iaitu tarbiah. Dan akhirnya mereka juga mampu berlari walaupun ada yang perlahan, ada yang tersungkur dan enggan berlari, ada yang mahu berlari tetapi enggan membawa obor, mungkin takut akan panasnya obor tersebut. Ada juga pelari yang sering mengadu keletihan, buat seketika berehat di tepi. Namun kerana larian ini adalah larian secara beramai-ramai, pelari lain yang masih mempunyai kudrat menarik semula tangan pelari tersebut agar dia tidak  berhenti untuk satu tempoh yang lama dan berkemungkinan dia enggan berlari lagi.



Saya pernah membaca sekilas buku kecil dan ringkas "Bekal Dakwah" karangan Syeikh Mustapha Masyur, dalam penceritaannya, antara elemen yang paling penting menjadi bekal seorang kader dalam membawa dakwah ialah sirah nabi dan para sahabat selain daripada iman dan taqwa yang benar. Bagi saya, sejarah-sejarah awal pelari obor di Sarawak juga suatu kisah pengorbanan yang mengagumkan dan harus diceritakan kepada pelari sedia ada kerana kisah mereka mungkin lebih realistik dan terjangkau oleh fikiran untuk dicontohi oleh mereka. Hal ini langsung tidak menidakkan sirah Agung Nabi S.A.W dan para sahabat yang lebih agung sehingga nyawa mereka taruhkan untuk memenangkan Islam.

Saya pernah bertanya kepada salah seorang pelari awal, ketika itu diadakan satu daurah (seminar) dan kami tahu pelari tersebut pada keesokkan harinya akan menduduki peperiksaan akhir. Pelari itu sorang pelajar perubatan, dan seperti mana yang kita tahu, pelajar perubatan terkenal dengan kesusahan belajar, kesusahan lulus, dan jadual yang penuh. Tetapi apa jawapannya?

"Akhi, takkanlah ana nak biarkan ikhwah di sini kepeningan memikirkan dakwah, sedangkan ana bersenang lenang bergoyang kaki belajar di bilik?"

Wah. Begitu sekali jawapannya tak mampu disangkal pelari-pelari yang lain. Kami tahu pengorbanannya hanya mampu di balas Allah, dan semestinya ada keberkatan terhadap azimah yang dia lakukan. Juga ada satu lagi kisah, dalam seminar yang sama, sepasang pelari sanggup turun dari Sibu ke Samarahan yang jaraknya 450-500KM dengan hanya menunggang motosikal. Itulah aras pengorbanan pelari-pelari obor dahulu, generasi pengasas yang mampu memperlihat pengorbanan yang menggetarkan jiwa.

Hujan dan taufan, bukanlah perkara yang mematahkan semangat mereka. Antara kisah seorang lagi pelari, bila sampai ke medan dakwahnya, lencun kerana hujan. Kitab-kitabnya semua basah. Bibirnya biru kesejukkan. Dan apabila si mad'u melihat pelari tersebut dalam keadaan sedemikian, timbul perasaan simpati dan kagum. Pernah si mad'u menceritakan, bahawa dia hadir ke usrah bukan kerana nak inginkan sangat ilmu yang di sampaikan, tetapi lebih kepada simpati melihat si pelari yang bersungguh-sungguh setiap minggu melalui perjalanan yang jauh semata-mata untuk berusrah 1-2 jam dengan mereka. Akhirnya, hati mad'u terpaut dengan pengorbanan tersebut dan tarbiah melalui usrah ke atas dirinya juga membuatkan dia akhirnya menjadi pelari obor yang tegar juga.



Ternyata, keyakinan akan ganjaran Allah adalah sebaik-baik balasan menjadi pembakar asa agar tidak putus. Ada juga pelari perlu menghabiskan berjam-jam perjalanan dan ratusan ringgit, semata-mata untuk tidak membiarkan kegelinciran tarbiah mutarabbinya yang jauh di luar kawasan. Lapan jam perjalanan ke Sibu bukanlah satu pengorbanan yang kecil. Tambah pilu bila kedatangan pelari tersebut disambut dingin dengan pintu berkunci oleh mutarabbinya. Bila dihubungi, tidak berjawab. Hati manusia biasa akan sedih, geram dan marah jika berdepan dengan situasi itu. Tapi jiwa yang ditarbiah dengan sirah-sirah pengorbanan Nabi akan faham bahawa itulah sunnatullah berdakwah. Semoga disebaliknya ada keberkatan dari Allah s.w.t. Firman ini adalah pembakar semangat buat pelari agar mereka tidak mudah berputus asa:

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (QS As-Shaaf : 10 – 13)

Sarat mengandung? Ini adalah kisah azimah yang juga menggetarkan perasaan. Seorang murabbiah melalui perjalanan 600 KM ke Bintulu, telah meletakkan nyawanya dan nyawa kandungannya kepada Allah s.w.t semata-mata demi melangsungkan tarbiah ikhwah/akhawat luar kawasan. Hentakan-hentakan jalan yang tidak rata boleh sahaja memecahkan ketuban kandungan. Namun Allah-lah sebaik-baik tempat bergantung harap.

Penceritaan kisah-kisah azimah pelari-pelari obor dakwah ini bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk akan pengorbanan yang dilakukan, tetapi cerita-cerita seperti inilah yang kurang diketahui pelari-pelari obor baru. Dalam suasana dakwah yang kian mudah, Semakin ramai pelari  muda mengambil rukhsah (kesenangan) dalam berdakwah. Kuda-kuda perang semakin banyak tidak perlu untuk menyewa gajah yang lambat berlari seperti dahulu, markas-markas perang tersedia dengan bilik berhawa dingin, tak seperti dahulu kering poket berinfak untuk menyewa markas tentera lain. Saya tidak meyalahkan kemudahan untuk pelari baru menyebabkan obor dakwah semakin malap. Pelari-pelari baru telah menemui keringanan tersebut semenjak mereka berlari membawa obor. Takut jatuh kufur nikmat jika sengaja meletakkan diri di tempat yang susah sedangkan kemudahan telah tersedia.

Abu Ammar dalam bukunya yang popular, Al-Munthalaq bab ke 17 menceritakan bagaimana manusia dilalaikan oleh satu kepuasan fitrahnya yang sukakan kepada sesuatu yang banyak. Adalah menjadi sesuatu yang bahaya, jika dalam satu suasana yang ramai dan selesa sedangkan tarbiah tidak mengakar melalui pelaksanaanya terhadap jiwa mutarabbi menyebabkan kelonggaran dalam disiplin tarbiah yang akhirnya membawa kepada kelembapan dan kehancuran institusi dakwah.

Sekali lagi, pelari-pelari obor dakwah perlu banyak diceritakan dengan kisah-kisah azimah ini. Ini mungkin hanya sebahagian dari hujung ais yang timbul. Banyak lagi kisah-kisah besar yang perlu dibongkar agar membentuk jiwa yang cekal dan mampu berkorban apa sahaja demi kelansungan larian obor dakwah. 

Sebelum menamatkan larian ini (yang hanya dihentikan oleh mati), saya berharap pelari-pelari baru dan lama sentiasa terus berlari dan tidak terbuai dengan khayalan dan keramaian pelari, serta sorakan gemuruh daripada penonton, pengorbanan hari ini mungkin berbeza caranya, namun apa yang ingin ditekankan adalah, sikap bergantungharap kepada Allah pelari-pelari baru harus setinggi pelari-pelari terdahulu untuk menghasilkan peristiwa yang menggegarkan semula.

Kiosk Alacafe,
Rashid al-Shirfani

Anda juga mungkin meminati...