Tuesday, March 12, 2013

Iskemik Tazkirah Iman


"Oley tow pan, oley tow pan"

"Siapa bagi ni?"


"Itu Buddha yang bagi, oley tow pan"

"Oh, terima kasih"


Telingaku seperti ditarik, mendengar beberapa baris ayat yang tak saya fahami, tapi seperti biasa saya dengari.
Inilah drama mengarut yang menarik itu! Konon.

Drama Sun Wukong!

Semasa saya kecil-kecil dahulu, saya antara peminat cerita monyet bermahkota yang memiliki 1001 kuasa luar biasa ini. Daripada bulu rambutnya, ditiupkan, lalu menjadi seekor ular. Daripada rambutnya, ditiupkan, lalu menjadi seorang puteri. Drama monyet dan rakan sami serta khinzirnya. Jarang sekali ketinggalan drama ini, kadang-kadang 'pause' dahulu masa belajar untuk menyorot sambungan kisah hari sebelumnya. Betapa obsesnya!

Inilah kesan 'tarbiyah jahiliah' kotak televisyen. Sungguh syirik dan penuh babak khurafat. Itu dahulu, lama dahulu.

Meleret indah.



Dialog di awal artikel kali ini, saya dengari semasa saya kepoh-kepoh buat 'nursing prosedur' di salah sebuah hospital besar di Sarawak. Saya masih di Tahun 2, juga baru 2 tahunlah saya mengikuti usrah dan bersama tarbiah. Apabila saya berpaling, seorang sami berjubah oren sedang mengagih-agihkan gula-gula kepada pesakit. Ditemani seorang wanita berpakaian blaus putih, sungguh ceria menziarahi pesakit. Tak kira pesakit Islam atau pun bukan. Jururawat muslim pun sama meraikan kehadiran mereka. 

Satu per satu pesakit diziarah dan diberi kantung gula-gula.


"Siapa bagi ni tokey?"

"Oley tow pan" Telunjuk ke langit.

"Oh, terima kasih!"


Pesakit gembira dengan ziarah dari sami tersebut. Yang muslim pun sama. Inilah Sarawak. Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan masyarakat Muslim di Sarawak. Keterbukaan masyarakat Muslim Sarawak kepada bangsa-bangsa dan agama-agama lain kadang kala seperti meredhai adanya agama lain selain daripada Islam yang mereka anuti. Mungkin sebahagian sahaja, apa yang saya saksikan belum boleh lagi untuk dijadikan hujah yang Sarawak dilanda arus dakyah bukan Islam.

Tetapi bagaimana pula dengan situasi 'real' berikut.

Sekumpulan paderi dan 'alim ulama' Kristian berpakaian 'smart' juga dilihat menziarahi pesakit-pesakit di hospital. Murah dengan senyuman, murah dengan doa 'Jesus adalah Penyelamat anda, berdoalah kepadanya'. Sekumpulan pendakyah tersebut membuat lingkaran berpengangan tangan. Lingkaran diketuai seorang paderi membacakan doa buat pesakit. Saya berharap itu bukanlah pesakit Islam.

Bukan itu sahaja, semasa di Tahun 4 pengajian, setiap kali pesakit baru masuk ke wad, mereka akan dibekalkan dengan Bible. Seorang satu secara percuma. Ini berlaku di hospital daerah. Staf muslim yang minoriti seperti 'tidak mengapa' dengan hal ini. Keharmonian agama agaknya.

Inilah pluralisme. Mengiktiraf adanya agama lain yang juga berhak dianuti oleh manusia. Asalkan membawa nilai-nilai baik dalam manifestasi akhlak, kita biarkan sahaja ia berleluasa. Begitukah? Inilah yang terjadi bila hilangnya izzah terhadap agama Islam. Agama yang satu-satunya diredhai Allah.

Masyarakat terbunuh dengan serangan pemikiran ini. Arus Islam seolah-olah tidak ditentang, namun diwujudkan aliran "Mesra Islam" yang sebenarnya perlahan-lahan merosakkan akidah umat Islam. Keindahan akhlak yang akan memaksa pesakit muslim juga mengiktiraf adanya Tuhan selain Allah, yang berkuasa menyembuhkan mereka. Inilah syirik.



Masyarakat terdedah dengan ancaman. Namun tak ramai yang memahami itu sebenarnya ancaman. Kerana nampak tidak mudarat, bahkan ibarat supplement bagi mereka. Saya setakat ini tidak melihat lagi golongan asatizah ataupun pendakwah membuat ziarah kepada pesakit-pesakit di hospital. Yang saya kerap nampak ialah lelaki berjubah hitam, di dadanya berkalung salib. Adakah kita tidak mampu mecipta suasana Islamik untuk menjadi lapisan perlindungan buat pesakit Muslim?

Argh. Ini belum lagi menyentuh hal-hal ibadah pesakit Muslim yang rata-ratanya terabai, justeru hilang pergantungan kepada Yang Maha Kuasa, yang mampu menyembuhkan segala penyakit.

Di sinilah letaknya perjuangan seorang jururawat dan doktor Muslim. Ubat yang diberi bukan penyembuhan biologikal badan, tetapi juga pesakit menderita iskemik tazkirah pemyembuhan iman.

Dengan tarbiyah, pengamal perubatan sama ada jururawat akan mampu menjadi 'ustaz dan ustazah' buat pesakit. Mereka sebenarnya menderita nurani lebih teruk daripada menderita jasadi.

Moga Allah mengampuni segala kelalaian saya dalam uniform saya sebagai seorang jururawat.

Rasheedan Ellin,

Daie & Jururawat Ummah. 

No comments:

Post a Comment

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...