Saturday, February 21, 2009

KHALIFAH

ARTIKEL DARI SAIFULISLAM.COM

SULTAN ABDUL HAMID II:Dari Istana Yildiz ke Pembuangan di Salonika

February 18th, 2009 | by Abu Saif | 7,085 Views | Print Print | Email Email |


ikincihamid1.jpg

SULTAN ABDUL HAMID II (Memerintah 1876-1909)

“Betulkah cikgu, Sultan Abdul Hamid ni jahat dan Ataturk ni baik?”, saya bertanya kepada guru mata pelajaran Sejarah semasa di Darjah 6.

“Kenapa?”, cikgu bertanya balik kepada saya.

“Saya tengok, muka Sultan ni baik. Muka Ataturk yang pelik sikit”, saya cuba mengungkapkan apa yang saya lihat di buku teks kami itu.

“Entahlah, cikgu mengajar apa yang ada di dalam buku”, cikgu saya mengalah. Dia tidak mahu saya memanjangkan persoalan itu. Ia kekal tidak berjawab sehinggalah hampir sedekad selepas itu, saya tiba di Turki.

Saya agak terkejut semasa melalui kawasan Pendik untuk ke rumah Adnan Bey. Sekumpulan lelaki pertengahan umur membaling batu ke poster yang terlekat di tembok jalan.

Ia adalah poster Sultan Abdul Hamid. Wajah yang saya saya lihat di buku teks dahulu. Kini wajah itu dibaling batu. Kenapa mereka bertindak begitu? Hati saya begitu tersentuh. Sultan Abdul Hamid dibenci oleh ramai orang sejak di zaman hidupnya, sampailah ke hari jasa dan baktinya mahu dikenang di dalam sebuah seminar yang diposterkan. Walhal, setiap kali saya membaca mengenai beliau, saya semakin sebak dan kecewa kepada suatu fitnah besar-besaran, bahawa Sultan Abdul Hamid itu digelar sebagai Sultan Merah, Pemerintah Kuku Besi dan pembazir wang negara untuk kelas piano anaknya, dan 1001 lagi tohmahan dunia kepadanya.

Mengapa engkau dibenci begitu sekali oleh manusia dunia ini?

Sesungguhnya perbuatan lelaki itu yang membaling batu kepada poster Sultan Abdul Hamid II, menghilangkan ceria saya ketika tiba di rumah Adnan Bey, guru sejarah saya di Turki.

“Hasrizal, Sultan Abdul Hamid telah membayar harga yang mahal untuk Islam dan Ummah. Saya yakin negara kamu juga ada kesan dakwah Sultan Abdul Hamid. Seruan Pan-Islamism baginda, tersebar ke seluruh ceruk rantau alam. Malaysia juga tidak terkecuali”, Adnan Bey cuba mententeramkan saya sambil menuang cay panas ke cawan.

Ya, memang dakwah Sultan Abdul Hamid sampai ke Tanah Melayu. Namanya disebut di dalam khutbah Jumaat. Datuk nenekku mendoakannya ketika Khilafah retak menanti belah. Baginda menghantar Muhammad Kamil Bey sebagai duta Pan-Islamism ke Kepulauan Melayu. Tetapi nasib Muhammad Kamil Bey tidak baik. Hayatnya tamat di tali gantung di Burma atas alasan mengadakan perancangan untuk mengancam kuasa Koloni British.

Bukan sahaja di Tanah Melayu, seruan Pan Islamism sampai ke Jepun. Maharaja Jepun, Mutsuhito Meiji (1867-1912) telah menghantar jemputan kepada Sultan Abdul Hamid agar mengutuskan mubaligh Islam ke Jepun.

“Kita berdua adalah maharaja empayar Timur. Adalah menjadi kemahuan dan keperluan masyarakat kita untuk saling mengenal dan berhubung baik. Aku melihat kuasa koloni Barat menghantar pendakwah-pendakwah mereka ke tanah airku, tetapi aku tidak bertemu dengan mubaligh agamamu, Islam. Hantarlah mereka ke tanah air ini agar pelajaran agamamu dapat membina hubungan moral antara engkau dan aku”, begitulah surat Mutsuhito kepada Sultan Abdul Hamid.

Seruannya melata dari Ghana hingga ke Korea, melangkau ke Jepun, di tangga istana maharaja. Demi perpaduan umat Islam sedunia, Sultan Abdul Hamid gigih menjalankan tanggungjawab baginda.

Saya minta izin untuk pulang awal. Saya mahu ke Beyazid, melawat makam Sultan Abdul Hamid. Adnan Bey melepaskan saya dengan senyuman.

“Jangan emosi sangat”, katanya sambil melambai kepada saya yang melangkah masuk ke dolmus.

Ketika di Uskudar, mata saya sayup memandang ke Istana Caragan di seberang Bosphorus.

“Baik aku ke Besiktas terlebih dahulu”, saya menukar plan.

Ketika kapal beransur lesu meninggalkan Uskudar, hati saya semakin resah. Kabus musim sejuk yang mengundang mendung di Selat Bosphorus menambahkan lagi perasaan sedih saya yang entah di mana hujung pangkalnya.

Tiba di Besiktas, saya mengambil bas untuk ke Istana Yildiz. Selalunya saya ke sana kerana mahu membaca buku. Tetapi kali ini saya bagai kebingungan terpukau untuk ke sana meredah sejuk tengah hari itu. Semata-mata kerana jiwa saya yang luka ketika melihat poster Sultan Abdul Hamid dibaling batu. Saya menapak laju ke Istana Yildiz, seperti mahu memberitahu kepada Sultan betapa jahil dan zalimnya rakyat baginda bertindak sedemikian rupa

.yildiz.jpg

Istana Yildiz

“Beritahu mereka Tuanku, bahawa mereka sudah tersilap. Penghinaan mereka kepadamu adalah suatu kesilapan yang besar”, saya terkumat kamit sendirian.

Akhirnya saya tiba di Masjid Hamidiye Yildiz. Ia terletak tidak jauh daripada pintu masuk istana.

“Ayahanda lihat, orang ramai sudah mula memuji kecantikan rupa parasmu. Mulai hari ini ayahanda mahu anakanda memakai hijab yang sempurna kerana anakanda sudah menjadi wanita dewasa”, saya bagai terngiang mendengar suara Sultan Abdul Hamid kepada anaknya Aishah semasa mereka melintas di hadapan Masjid Yildiz ini.

Saya tunduk.

Di hadapan masjid ini, terlalu banyak yang telah berlaku. Baginda Sultan Abdul Hamid pernah cuba dibunuh ketika bom diletakkan di kereta kuda baginda. Pengeboman itu berlaku sejurus selepas solat Jumaat. Allah masih mahu Sultan Abdul Hamid bertakhta memimpin umat.

Di hadapan istana ini, baginda sering mengerjakan solat dan keluar menyapa rakyat yang dekat di hati baginda. Di situ juga, baginda yang menunggang kereta kuda bersama anaknya Aishah, menitahkan agar anaknya bertudung sempurna kerana usik-usik mereka di jalanan adalah petanda kedewasaan puteri baginda Aishah Osmanoglu.

Saya mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid di tengah-tengah dewan. Masjid sepi. Hanya ada beberapa orang tua yang bongkok menatap mushaf usang di tingkap masjid mencari sedikit cahaya.

“Ya Allah, apakah yang telah berlaku kepada umat ini?”, saya menadah tangan memohon jawapan dari Allah.

Dari pintu masjid, saya merenung sayup-sayup istana kayu Yildiz. Ia adalah kediaman baginda Sultan Abdul Hamid, selepas berpindah meninggalkan kemewahan kaum keluarganya yang sebelum ini bermastautin di Istana Dolmabahce. Engkau benar-benar pemimpin yang terpuji…

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Aku boleh lari ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini. Di Istanbul”, saya membaca kembali diari Sultan Abdul Hamid yang tergenggam di tangan.

diariabdulhamid.jpg

Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.

Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.

“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.

Tiada simpati di wajah mereka.

“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.

Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.

“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.

titah.gif

“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.

Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.

“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.

“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.

Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”, azan berkumandang di puncak menara Masjid Hamidiye di Istana Yildiz itu.

Saya tersentak dari lamunan. Lengan baju saya basah mengusap air mata yang semacam tidak mahu berhenti. Pahit sungguh kenangan peristiwa malam itu.

Diari Sultan Abdul Hamid yang diterjemahkan oleh ahli sejarah Mesir yang saya anggap sebagai guru, Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, dikepit di bawah lengan. Saya melangkah lesu ke saf di depan masjid. Dua rakaat Rawatib saya dirikan dengan penuh lemah, menahan kesedihan dan kekecewaan yang sukar saya ungkapkan dengan bicara.

Angin lesu bertiup bersama gerimis salji di petang itu. Pohon-pohon yang tinggal rangka, semacam turut sedih mengiringi perjalanan saya menjejak tragedi penggulingan Sultan Abdul Hamid. Saya berjalan menuju ke Barbaros Bulvari untuk mengambil bas ke Eminonu.

Di Eminonu, saya berdiri sendirian memandang lepas ke Galata di seberang teluk. Bukit itu pernah menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang telah menarik 70 kapal menyeberang bukit dalam tempoh satu malam. Semuanya gara-gara teluk di hadapan saya ini, yang telah dirantai pintu masuknya oleh Maharaja Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Ia mengundang bangga dan syukur.

Tetapi bukan itu yang mahu saya kenangkan.

sirkeci.jpg

Stesyen Keretapi Sirkeci

Saya melangkah menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci, tempat Sultan Abdul Hamid beserta sekalian isteri dan anaknya dihantar pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana buruk milik Yahudi di Salonika, pembuangan negara sebelum seluruh khilafah dimusnahkan di tangan musuh Allah; si Yahudi dan konco-konco Ittihad ve Terakki.

Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan”, kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.

Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.

Saya seperti terpaku melambai baginda pergi.

Saya tinggalkan Sirkeci dan melangkah membawa diri ke stesyen tram. Saya mahu ke Beyazid.

Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.

Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.

“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.

Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.

“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.

Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.

Selepas turun di Beyazid, akhirnya saya tiba di hadapan makam Sultan Abdul Hamid

“Akhirnya di sini tubuhmu bersemadi. Maafkan saya Tuanku kerana tidak segagahmu untuk mempertahankan Ummah ini”, saya berdiri sepi di dinding makam.

No comments:

Post a Comment

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...