Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam bagi Rasulullah, kepada para sahabatnya dan semua yang mengikutinya.
Ikhwah dan Akhawat yang dimuliakan,
Saya dahulukan dengan sapaan Islam yang mulia; Selamat sejahtera ke atas anda beserta rahmat dan barakahNya;
Dengan kehendak Allah Azza wa Jalla, saya mengambil tanggungjawab yang besar ini, yang mana Allah telah tetapkan untuk saya, dan dengan permintaan dari gerakan Ikhwan Muslimin(IM) yang saya sahutnya dengan sokongan dari Allah. Dengan sokongan anggota Ikhwan Muslimin, saya berharap untuk mencapai tujuan-tujuan yang besar, yang kami curahkan seluruh tenaga kami, semata-mata kerana Allah
Ikhwah dan Akhawat,
Saya dahulukan ucapan saya dengan memberi penghormatan kepada guru kita, abang, dan ketua kita yang mulia Ustaz Muhammad Mahdi Akef, Mursyid Am IM yang ketujuh, seorang yang tegas, berdedikasi dan bersemangat tinggi yang telah mengetuai perjalanan pergerakan ini di tengah-tengah ribut dan badai dan telah melepasi segala rintangan, yang mana telah menghasilkan model dan contoh yang baik dan unik kepada semua pemimpin dan pegawai tinggi di dalam kerajaan, pertubuhan dan parti, dengan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan selepas hanya satu penggal. Tiada kata-kata mampu menggambarkan perasaan kami kepada pemimpin hebat yang juga murabbi kami dan kami hanya boleh mengucapkan ”Semoga Allah membalas jasa anda dengan balasan sebaiknya dan Allah anugerahkan dengan pahala para Siddiqin”
Kami ucapkan kepada ikhwah dan akhawat yang dikasihi di merata dunia, alangkah baiknya sekiranya anda berada bersama-sama kami semasa peristiwa besar ini berlaku, namun ianya tidak berlaku oleh kerana pelbagai sebab yang diluar kawalan kita, namun kami tetap merasakan kehadiran ruh anda yang sedang mengukir senyuman dan getaran yang jujur dan ikhlas.
Kepada mereka yang kami kasihi yang menghuni penjara kezaliman dan penindasan hanya kerana menegaskan bahawa Allah tuhan kami dan kerana mengangkat maruah, kehormatan dan kemajuan negara mereka, kami berikan hormat kami dan sokongan kepada mereka di atas kesabaran, ketabahan dan pengorbanan, yang mana kami yakini tidak sia-sia. Kami doakan para penzalim dan penindas sekalian menemui hati nurani mereka dan mereka akan bersama-sama kami menyokong usaha kami, semoga Allah merahmati dan melindungi anda semua.
Ikhwah dan akhawat,
Sepertimana yang diketahui semua, matlamat utama Ikhwan Muslimin (IM) ialah perubahan yang menyeluruh dan lengkap, yang akan membetulkan segala kerosakan menerusi pembaharuan(reformasi) dan perubahan. ”Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah” (Hud:88) dan dengan kerjasama semua pihak berkuasa dan mereka yang mempunyai semangat tinggi yang tulus terhadap agama dan negaranya.
IM percaya Allah telah meletakkan semua asas yang perlu untuk pembangunan dan kebajikan negara dalam ajaran Islam; maka Islam mestilah menjadi sumber rujukan dan titik tolak bagi pembaharuan, yang dimulakan dengan proses tarbiyah dan melatih disiplin individu muslim, diikuti dengan pembentukan keluarga dan masyarakat muslim dengan mengukuhkan mereka, seterusnya dengan membawa keadilan dan berjihad untuk memerdekakan negara dari segala bentuk penguasaan asing atau hegemoni intelektual, spiritual dan kebudayaan serta penjajahan ekonomi, politik dan ketenteraan. Seterusnya membawa negara kearah kemajuan, kemakmuran dan meletakkan negara di persada dunia.
Dengan kefaham Islam yang komprehensif ini, IM telah digambarkan sebagai pergerakan dakwah salafi, pengamal sunnah (Toriqah Sunniyah), hakikat sufi (Haqiqah Sufiyyah), parti politik (hai’ah siyasiyah), kumpulan sukan (jamaah riyadhiyyah), persatuan kebudayaan dan ilmiyah (rabitah ilmiyyah thaqafiyyah), dan syarikat perekonomian (syirkah iqtisodiyyah) dan idealisma sosial (fikrah ijtima’iyyah), sepertimana yang telah disebut di dalam Al-Quran: ” Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qasas:77)
Ikhwah dan akhawat memahami bahawa Quran dan Sunnah merangkumi semua peraturan, yang digunapakai dalam segenap aspek kehidupan dan ummah ini perlu memilih yang terbaik untuknya berdasarkan peraturan ini, dimana alternatif dan pilihan fikah boleh berubah mengikut adat kebiasaan, masa dan tempat.
Ikhwah dan akhawat
Walaupun idea, matlamat dan objektif kami adalah jelas, banyak pihak cuba untuk menggambarkan kami dengan gambaran yang lain, meletakkan matlamat dan objektif yang berbeza terhadap kami; oleh kerana itu, kami selalu memperkenalkan kembali diri kami, prinsip dan pendirian kami terhadap isu semasa.
Saya ingin memperkatakan kepada mereka yang mendokong kesatuan jamaah, bahawa mereka yang bekerja untuk tuhan mereka, agama dan negara haruslah bekerja sebagai satu unit, walaupun memiliki perbezaan pandangan. Mereka yang mengatakan bahawa perbezaan pandangan akan menyebabkan perpecahan atau memberi kesan kepada ukhuwwah, sebenarnya tidak benar-benar memahami IM. Anggota IM telah berjanji dengan Allah untuk bekerja keras demi Allah sebagai satu unit seperti sebuah binaan yang tersusun.
IM bergerak berdasarkan peraturan dan disiplin, yang sentiasa diperbaharui dan diperkemas tanpa melanggar prinsip-prinsip yang asas, dan dalam hal ini IM sentiasa menerima nasihat dan pandangan semua pihak kerana mereka mengikut pepatah ” Allah merahmati mereka yang menunjukkan kekurangan kami”.
Ikhwah dan akhawat
Saya mahu menyorot dan menekankan beberapa perkara berikut:
Ikhwah dan Akhawat
Kita melihat masa depan dengan penuh harapan dan keprihatinan.
Harapan adalah slogan hidup mukmin yang benar. Dan ia merupakan bekalan di perjalanan yang panjang, maka kita terus beramal dengan segenap harapan. Kasih sayang dan ukhuwwah merupakan wasilah ikhwan menghadapi kesusahan. Sesungguhnya berputus asa bukanlah sifat mukmin dan berdiam diri bukanlah kualiti seorang mujahid. Keprihatinan kami adalah sama seperti rakyat Mesir, bangsa Arab dan muslim; umat manusia keseluruhannya juga berkongsi keprihatinan yang sama tentang masa depan dunia, yang diancam konflik, wabak dan penyakit, dan para saintis merasa kasihan terhadap dunia kerana pemanasan global, kemarau dan penggurunan (desertification). Keprihatinan kami juga terhadap masa depan dunia yang ditadbir dengan polisi kuasa besar yang ingin memimpin dunia secara unilateral selama dua dekad, dimana mereka menyangka mampu mengawal dunia. Namun, mereka dikejutkan dengan darah yang mengalir dan jasad yang bergelimpangan di sebahagian dunia Islam termasuk Afganistan, Iraq, Sudan, Somalia, Lebanon dan Palestin di tambah dengan krisis ekonomi yang tidak putus-putus serta manusia yang hidup dalam kerisauan dan rasa cemas terhadap masa depan mereka dan anak-anak mereka.
Ikhwah dan akhawat,
Rakyat Mesir, bangsa Arab, Muslim dan manusia sejagat meletakkan harapan yang sangat besar kepada anda, anda –dengan izin Allah- mampu untuk menggalas tanggungjawab ini; sejarah telah membuktikan berulang kali tentang kesabaran, ketabahan, ketetapan pendirian dan keberhasilan anda walaupun banyak khabar angin yang tersebar tentang anda.
Tawarkan kepada dunia Islam yang sebenar, Islam yang membawa toleransi dan kesederhanaan, Islam yang menghormati kepelbagaian beragama, Islam yang menggalakkan saling mengenali dan bekerjasama untuk kebaikan manusia.
Laluilah semua jalan dan gunakan semua wasilah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada manusia dan bersungguh-sungguhlah; ”Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujah-hujah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh” (al-Furqan:52)
Tetaplah berjihad dengan pernyataan-pernyataan, penulisan, pidato, lagu, filem dan drama, dan semua jenis seni yang terarah dan cara yang suci agar kebenaran Islam terserlah dan menolak segala bentuk syubhat. Slogan kita terdapat dalam Ayat suci: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (an-Nahl:125). Dan firman Allah lagi: ”Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (al-Ankabut:46)
Didiklah diri anda dengan nilai dan etika yang murni, jadilah contoh buat masyarakat. Pimpinlah mereka ke jalan Allah dengan menjadi contoh yang baik dan dengan akhlak yang mantap. bekerjasamalah dengan semua pihak dalam membentuk peribadi dan menanam akhlak yang mulia.
Bekerjasamalah dengan mereka yang bekerja untuk kebaikan dan taqwa, bahkan bantulah sesiapa sahaja yang membawa kebenaran, mempertahankan iman dan memerangi kekafiran dan ateisma.
Perbetulkan dirimu dan rumahtanggamu, bersegeralah membuat kebaikan untuk membaiki masyarakat. Perhatikan nasib mereka yang ditindas di merata-rata tempat dan kembalikan hak mereka.
Kembalilah kepada Qur’an yang mulia dan Sunnah Rasulullah yang dijunjung, sirah kehidupan Rasulullah dan dan kehidupan manusia-manusia agung yang lain. Pelajari ia dan dapatkan pengajaran darinya dan perbaiki perjalanan kehidupanmu sentiasa dan sedarlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan amalmu dan bukan pada zahirmu. Pertolongan Allah sentiasa menanti, dan ianya amat dekat; ”Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (ar-Rum:5)
” Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (at-Taubah:105)
”dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Yusuf:21). Benarlah kata-kata Allah yang maha Agung
Dipetik daripada Halaqah Onlinehttp://www.halaqah-online.com/v3/index.php
No comments:
Post a Comment
Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...