Assalamu'alaikum wbt.
Minggu ini ana praktikal di Wad Rawatan Kebakaran (Burn Ward). Minggu lepas di Wad Telinga, Hidung dan Tekak (Ear, Nose and Throat Ward). Minggu ini ana ada kisah menarik yang menyentuh hati. Boleh sahaja kantung air mata ini pecah dalam kesibukan memerhati pesakit.
"Eli.. Eli dengar cakap mama, kalau Eli tak nak cucuk di sini kat mana lagi? Bagi tahu mama..."
"Tak mahu... orang cakap sakit, sakitlah!"
"Eli.. mama dulu pun pernah kena cucuk, mama tak menangis pun..."
"Eli tak nak...!"
"Eli nak mama marah dulu ker atau nak mama sayang Eli macam ni?"
Suara Eli yang kasar kedengaran sehingga ke hujung wad. Thrombophlebitis menyebabkan IV linenya terpaksa ditukar. Dr. Dagu memujuk Eli namun kurang berhasil.
"Misi, mintak satu kerusi..."
Ibunya mengangkat Eli dari kerusi rodanya dan mendakap Eli dalam ribanya. Sungguh erat.
Pada mulanya ana berasa terkejut dan sebak melihat seorang kanak-kanak perempuan yang berusia kira-kira 9 tahun, yang telah tinggal di wad sejak 2004. Tubuh dan wajahnya 86% hangus, mengakibatkan kecacatan kekal di tubuhnya. Bibirnya dikonstruk semula, ada keloid besar di kedua-dua belah tangannya. Kakinya juga tidak sembuh dengan sempurna.
Namun di sebalik wajah Eli, dia mempunyai naluri kanak-kanak seperti yang lain. Ceria, aktif dan optimis. Tidak pernah ana mendengar dia merungut tentang kecacatan yang dia miliki secara kekal itu.
"Tengok, kat tangan kanan saya ada burger yang besar, ketam, sebelah kiri pulak ada sosej, kaki pulak macam kayu golf..!"
Eli menunjukkan apa yang dia miliki tanpa henti tersenyum. Dia merangkul tangan ana, minta disorong dengan kerusi rodanya. Ana penuhi permintaannya, bising satu wad dengan suara Eli bila ana menyorong kerusi roda dengan roda depan terangkat. Eli tidak henti-henti ketawa. Aku pun turut terhibur, siapa sangka ada kanak-kanak seoptimisnya. Ibunya sangat sayang kepadanya. Eli tenang dalam dakapan ibunya semasa Dr. Dagu hendak set IV line di tangannya. Air mata Eli tertitis ke tangan ibunya. Dialah satu-satunya anak yang terselamat dalam kebakaran yang meragut adik-beradiknya yang lain.
Pernah sekali Eli memberitahu ana yang dia telah "berkahwin" dengan rakan sewad dengannya. Dia bercerita seolah-olah hari itu pernah wujud. Tetapi setelah di"siasat", itu hanyalah sambutan hari jadinya. Satu wad meraikan hari jadinya. Sister memberikan hadiah kepadanya.
Oh, betapa bersyukurnya kita diberikan paras dan tubuh yang elok sehingga ke hari ini. Dan betapa mudahnya untuk merungut jika dicalarkan sedikit tubuh pun, ditumbuhi jerawat kecil, dan rambut gugur dan beruban. Mengapa tidak disyukuri nikmat yang Allah berikan.
Rakan sewadnya akan discaj besok. Mungkin juga Eli perlukan rakan yang baru..
Esok nak jumpa Eli lagi... :)
Rashid al-Shirfani
Salam,
ReplyDeletewah beruntung la dapat kenal Eli tu..
Dapat la kita musahabah balik.
Kdg2 kita yg sihat ni la, salu merungut mcm2..
Syukran ats prkongsiannya.