Monday, August 03, 2009

Umat Terbaik?

Sumber: Utusan Online 03 Julai 2009

Mayat bayi dalam tandas


GURUN 2 Ogos - Seorang guru wanita yang memasuki tandas guru di sebuah sekolah agama di sini terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat.

Lebih menyedihkan, bayi yang tidak berdosa itu dipercayai mati sejak dua hari lalu berdasarkan kesan darah kering pada tubuhnya.

Mayat bayi tersebut ditemui kira-kira pukul 8 pagi ini di dalam mangkuk tandas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, pengetua sekolah terbabit membuat laporan di Balai Polis Gurun pada pukul 10 pagi ini berikutan penemuan mayat itu.

"Ketika ditemui, keadaan bayi itu cukup sifat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Renungan Prokiyai:

Anak adalah anugerah dari yang Maha Pencipta. Kes buang bayi ibarat menjadi makanan ruji media. Walau pun telah lali telinga, namun hati tetap merasakan kemungkaran yang telah manusia lakukan. Adakah kita hendak mengulangi kezaliman Fir'aun terhadap bayi-bayi yang baru lahir? Sepertimana yang telah Allah S.W.T rakamkan dalam surah al-Qashah:

4. Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan.

Kezaliman Fir'aun terhadap anak-anak kecil seolah-olah berulang lagi pada milenium ini. Di manakah akhirnya? Dapatkah kebejatan ini dilenyapkan? Di manakah gelaran ummat terbaik yang kita pegang selama ini? Adakah kita melalaikan tanggungjawab yang terpikul di bahu sebagai muslim? Di dalam Ali-Imran, Allah s.w.t menerangkan:

110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Layakkah kita sebagai umat terbaik?

No comments:

Post a Comment

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...