Tuesday, October 05, 2010

Selamat tinggal Lawwamah!


Meninggalkan Lawwamah, Menuju Mutmainnah

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Sudah kesekian lamanya, TTT bertemu semula dengan para pembaca. Saudara pembaca, hidup ini penuh dengan pilihan. Kita melalui tiap detik masa yang tidak sunyi daripada pilihan. Pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan. Memilih antara pahala atau dosa, nikmat atau azab dan maksiat atau makrufat. Memilih untuk memenangkan iman atau tunduk kalah dengan pada desakan hawa nafsu dan syaitan.

Selepas anda melakukan sesuatu kejahatan atau kemu

ngkaran, adakah rasa sesal akan menyusul selepas itu? Adakah anda akan mencela atau mengkritik semula atas perbuatan yang telah anda lakukan? Adakah istigfar menjadi pengubat segera dosa anda itu? Sekiranya masih lagi berdegup lagi ciri-ciri tersebut dalam diri anda, beerti anda masih berada dalam kategori nafsu lawwamah. Nafsu lawwamah ini lebih baik sedikit daripada nafsu amarah, namun begitu bukanlah alasan kita untuk kekal ‘bersyukur’ atau berpuas hati dengan tahapan nafsu yang kita miliki. Hal ini disebabkan sekiranya kita tidak mematuhi isyarat lawwamah yang terpancar setelah sesuatu kemaksiatan, lambat-laun nafsu mereka akan jatuh kembali ke martabat nafsu amarah. Seperti mana yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah:

“… Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepadamu, sesungguhnya kamu -kalau begitu- termasuk golongan orang-orang yang zalim.”

Al-Baqarah: 145

Pada tahap lawwamah ini masih lagi bergelumang dengan sifat-sifat mazmumah tapi jumlahnya mulai berkurang sedikit. Keinsafan memancar. Sekiranya dia terus mematuhi isyarat lawwamah yang ada, sedikit demi sedikit sifat-sifat keji dan buruk dapat dihapuskan. Pada peringkat ini dia banyak meneliti diri sendiri dan merenung segala kesalahan yang lampau. Bila perasaan menyesal datang, orang-orang pada peringkat ini sangat mudah mengeluarkan air mata penyesalan. Kerap menangis dalam solat, atau bila sendirian, sewaktu berzikir, bersolawat. Air matanya tidaklah disengaja/ dibuat buat tetapi terjadi secara spontan. Inilah dikatakan sebagai tangisan diri. Pada peringkat ini mulai banyak mengkaji dan meneliti alam dan kejadian. Malah sentiasa membandingkan sesuatu dengan dirinya. Mereka juga menjadi gila untuk beribadat dan cenderung kepada perbincangan berkaitan soal mengenal diri dan mulai jemu dengan persoalan yang tidak berkaitan dengan agama. Perubahan ini boleh jadi mendadak sekiranya kita terjun ke alam tasawuf.

Tidak dinafikan sukar untuk mengekalkan hati yang sentiasa istiqomah dalam mengawal nafsunya. Kadang-kala kita merasakan setelah kita menyesal dalam doa taubat yang kita panjatkan kepada Allah, kita tidak akan lagi mengulangi perkara yang sama (ketika ini iman berada di puncak). Bahkan perkataan istiqomah itu sendiri telah menyebabkan rambut Rasulullah s.a.w. beruban ketika menerima ayat berkaitan istiqomah.

"Maka istiqamahlah kamu, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." (Huud : 112)

Tetapi, percayalah, andai kata keteguhan hati itu tidak dijaga dengan mutabaah ibadah yang konsisten, semakin senang syaitan meniup-niup semula api nafsu lawwamah dan amarah agar mengingkari perintah Allah. Hati yang jauh daripada menerima tazkirah akan cenderung menerima unsur dan agenda maksiat yang lain. Seperti mana firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisaa ayat 137:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kamudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.”

Kita seharusnya kuat berzikir lagi untuk menembus dan menyucikan sisa-sisa karat hati. Zikir pada peringkat permulaannya hanya dibibir tetapi jika diamalkan selalu akan mulai meresap masuk ke lubuk hati tapi. Bergaullah dengan rakan-rakan yang soleh, mantapkan diri dengan tarbiyyah dalam usrah atau halaqah yang diikuti, insyaAllah dengan adanya pengetahuan tentang sifat-sifat nafsu, maka kita lebih mudah hendaknya untuk mengatur langkah memilih ajakan nafsu yang tidak akan berhenti sehinggalah nafas kita yang terakhir.

Wallahu’alam.

Mohammed Rasheedan bin Ellin, berasal daripada daerah Asajaya, Samarahan. Pernah menuntut di SMK Asajaya seterusnya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Labuan dan seterusnya ke Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan. Berkarya dengan nama pena Rashid al-Shirfani, tulisannya boleh dibaca di laman blog ibnusarha.blogspot.com.


1 comment:

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...