Monday, November 08, 2010

Menyelamatkan Ayah


Jam 12.30pm semalam, ayahku di kampung meminta anak buahku(cucunya) untuk memanggil jiran sebelah untuk memanggil ibuku dan abangku di kebun. Ayah sesak nafas di rumah. Dadanya senak.

Setengah jam kemudian ibuku sampai dengan cemas, bersama abangku. Dengan segera ibuku mengajak pergi ke klinik, namun ayahku enggan. Dia berkata akan sembuh nanti. Namun, keadaannya semakin pelik. Ayahku meminta untuk dipanggilkan dukun dan pawang.

Ibuku memanggil beberapa orang dukun dan pawang dari dalam kampung. Seramai 3 orang dukun dan pawang tradisional datang dan cuba untuk mengubati ayahku yang dalam kesakitan. Selepas 2 dukun gagal, tibalah giliran dukun ketiga. Ayahku berupaya berkata sesuatu. Ayahku meminta sebiji telur ayam. Jangan dimasak untuk dimakan mentah. Ibuku memberikan telur yang diminta, lantas ayahku memecahkan dengan segera dan ditelannya begitu sahaja. Ibu dan abangku kehairanan.

Ayahku pulih seperti biasa, malahan sakit dadanya hilang.

Kami adik beradik dapat menghidu, itu bukanlah rawatan yang sepenuhnya, namun hanya sementara kerana kami berpendapat bomoh yang ketiga telah memanggil makhluk halus lain untuk membuatkan ayahku segar kembali. Sememangnya ayahku kelihatan pelik. Bulu romaku meremang saat ayahku mulai ketawa. Aku menjadi semakin takut. Namun aku beristighfar dan tekad aku perlu berani untuk menyelamatkan ayahku.

Matahari semakin menghilang. Maghrib tiba. Keadaan ayahku mulai tenat semula. Sakit dadanya datang dan hilang, kemudian datang lagi. Ayah, kenapa denganmu ayah? Aku menangis saat mewudhukan ayahku untuk solat magrib dalam keadaan baring. Ayah akur untuk disuruh solat maghrib. Mulutnya berhasil membaca ayat-ayat dan lafaz-lafaz dalam solat. Sembuhkah akan ayahku?

Selesai solat maghrib, tetamu mulai datang dan pergi, menziarahi ayahku yang dalam keadaan tenat. Ada yang datang kemudian terus pergi kerana lemah semangat. Ada yang datang dan memerhatikan gerak-geri ayahku, seolah-olah dapat membaca sesuatu.

Dalam keramaian itu, ayahku tiba-tiba bercakap berseorangan. Katanya makhluk itu mengajaknya berlari pergi ke hutan, dan sekiranya dia tidak berupaya, makhluk itu akan menyusup ke dalam jasadnya untuk membolehkannya berlari. Difahamkan seekor kuda telah disediakan untuk ayahku pergi. Kakakku (sulung) menasihati ayahku agar melawan semangat itu. Dan ayahku menuruti. Namun makhluk itu tetap berulang-ulang kali mengajak. Kakakku tetap mempertahankannya. Sekali lagi kami empat beradik tekad mengubati ayah dengan cara kami sendiri, atas arahan kakakku yang kedua, seorang ustazah.

Semasa mengubat itu, abangku yang kedua dan pertama mengurut-ngurut belakang ayahku sambil membaca ayat kursi. Kakakku (sulung) mengambil air zam-zam yang dibawanya dari Kuching untuk dibacakan surah Yassin dan ayat kursi. Lantas aku mengarahkan dua orang anak buahku yang fasih membaca al-quran untuk sama-sama membantuku menghabiskan surah Yassin. Dalam jiwaku sememangnya terdapat sedikit perasaan takut. Namun aku kuatkan bacaanku untuk menghilangkannya. Tamat membaca surah Yassin dan ayat Kursi, aku meniupkannya ke dalam air zam-zam.

Kakakku (ustazah) seterusnya mengarahkan agar keliling rumah dipagar. Terus aku mengambil semangkuk garam halus di dapur, dibacakan ayat kursi dan dihambur sekeliling rumah. Tingkap rumah dikunci rapat. Tetamu yang lemah semangat diminta untuk balik. Sekali lagi bulu romaku yang meremang sukar dibendung. Ayahku bersuara lagi. Kali ini dia meminta agar rumput liar dihadapan rumah dicantas dan dibawakan kepadanya. Aku menjadi pelik dan takut.

Abangku (kedua) mencantas beberapa rumpun rumput dan diberikan kepada ayahku. Ayahku mengambilnya dan mengeronyok untuk dicium baunya. Ayahku mengatakan baunya sedap. Aku semakin hairan.

Tiba masa solat Isyak, abangku (kedua) mewudhukannya. Di
hadapkan wajahnya ke kiblat.
Gambar hiasan
Namun, ayahku ketawa lagi, hilaiannya sungguh pelik. Dia berkata,

"apa yang kau buat ni? hiihii"

Aku tahu itu bukanlah ayahku. Sesuatu di dalam jiwanya sedang memerintah. Operasi kami adik beradik tetap diteruskan. Abangku (sulung) mengambil giliran untuk membacakan surah yassin. Abangku (kedua) pergi mengambil untuk mewudhukan ayah sekali lagi. Kakakku (ketiga) di Sibu menelefon dan menasihati agar ayahku dibawa ke hospital. Seperti biasa, ayahku enggan. Ayahku ingin ke tandas, untuk membuang air kecil. Kedua abangku memapah. Ayahku berkata,

"Dia cakap ayah boleh berlari, mari ayah cuba!"

Ayah boleh berlari. Betul ini bukan ayah. Berat badannya 105kg manakan mampu berlari dengan gout yang juga dihidapi. Kami adik beradik mencuba lagi, bacakan Yassin, ayat Kursi dan selawat. Kakakku (ustazah) cakap, tiada lain yang lebih berkuasa melainkan ayat-ayat Allah. Kami meneruskan usaha. Pernah ada ikhtiar memanggil ustaz, namun ayahku mengatakan jangan, takut ustaz itu mendapat penampar makhluk itu. Lagipun, tak ada ustaz yang khusus dalam ilmu sebegini berhampiran.

Setelah beberapa kali meminum air Surah Yassin dan ayat Kursi, ayahmu semakin pulih. Fikirannya semakin baik dan waras. Ayahku berkata-kata lagi,

"Baliklah engkau, jangan kacau kami sekeluarga, aku tidak dapat mengikutimu ke hutan, anak-anakku tidak mengizinkan. Baliklah engkau"

Semua orang kehairanan dan mungkin sekali ketakutan. Ayahku kembali sakit dadanya. Namun fikirannya telah pulih. Makhluk itu telah berjaya dikeluarkan dengan sendiri. Ibuku bertanya kepadaku bagaimana mahu tahu yang ayah telah pulih dan makhluk itu telah beredar? Aku membuat andaian selagi mana ayahku dapat membaca ubatannya dengan betul dan tahu fungsinya, maka ayahku telah waras. Dalam kewarasan itu, ayah berkata yang makhluk itu menyuruhnya menelan semua ubatan yang dia ada. (Metformin, Atenolol, Youfenac etc.)

Ayahku pulih dari gangguan. Namun sakit dadanya datang lagi. Kami rehatkan ayah. Beberapa minit kemudian, adik kepada ayahku datang. Dia mengatakan abang sulung mereka (abang ayahku) tidak dapat datang kerana sakit belakang. Pak cik ku itu mengatakan makhluk itu telah sampai kepadanya dan menampar belakangnya sehingga sakit. Mungkin sekali kerana gagal memujuk ayahku ke hutan.

Adik ayahku itu memberitahu, yang makhluk itu ialah jin belaan keluarga datuk dahulu, seekor jin lemah, jasadnya seperti seekor beruk, namun sangat besar (menurut preskripsi ayahku). Makhluk itu akan datang jika salah seorang daripada adik-beradik ayahku sentasa teringatkan dia. Aku merasakan, makhluk itulah yang mengganggu kakakku (sulung) di rumahnya di Kuching, yang ingin menyalami kakakku (ustazah) selepas dia selesai bersalin, dan yang menumpang abangku (pertama) di belakang keretanya (namun hilang tiba-tiba).

Aku mengingatkan kepada anak-anak buahku akan ibrah peristiwa ayahku. Jangan sesekali tinggalkan solat dan baca al-Quran. Kalau ada di antara jiwa kamu kosong daripada mengingati Allah, hah, macam nilah jadinya. Anak-anak buahku mengangguk, dan ada juga yang bertanya kepastian,

"Betul ke Su?"

Aku dengan yakin dan wajah yang menyeramkan, berkata,

"Betul!"

Mereka akur. Ayahku sekarang masih terbaring. Sakit dada. Kemungkinan besar itu ialah serangan jantung. Kerana ialanya menjalar ke bahagian bahu dan tangan.

Alhamdulillah, Allah telah selamatkan ayahku yang tersayang.

Cerita benar,
Rashid al-Shirfani

Monday, November 01, 2010

Bangkit bersyukur

Assalamualaikum warohmatullah wabarokatuh.

Buat yang wish ana/saya/kamek selamat ulang tahun, semoga Allah membalasnya dengan kebaikan. Umur saya mencapai 21 tahun genap, selangkah lagi menuju dewasa.

Kepada Allah aku bersyukur,
Kepada Rasul aku berselawat.

Buat ibu, pengorbananmu tiada tandingannya,
Buat ayah, kasih sayangmu tiada taranya,
Buat abang-kakak, keprihatinanmu tanda kasih sejati,
Buat ikhwah, seperjalanan denganmu menyahut tuntutan Ilahi meninggalkan sejuta memori,
Buat guru/pensyarah, semoga aku berkah dalam naungan ilmu yang telah engkau curahkan,
Buat rakan, terima kasih kerana berkongsi cerita kehidupan,
Buat anak-anak saudara, Sujang gembira dalam keramaian kita berkeluarga,
Buat sesiapa sahaja, terima kasih kerana mengucapkan:

Selamat Ulang Tahun Keputeraan.

Sujud syukurku padamu Ya Allah.
Aku ada kerana kamu ada

Ikhwahku yang luar biasa

Perpustakaan Perubatan,
FPSK, Kuching.


Anda juga mungkin meminati...