Thursday, October 06, 2011

Himpunan Sejuta Umat 22 Okt 2011

Himpunan Sejuta Umat 22 Okt 2011


KUALA LUMPUR 4 Okt — Berikutan dakwaan peningkatan kes cubaan memurtadkan orang Islam, badan-badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggerakkan satu sekretariat bagi mengukuh dan memantapkan akidah Muslim negara ini.
Sekretariat yang diberi nama Himpunan Sejuta Umat atau Himpun itu bagi menzahirkan suara dan pendirian umat Islam yang menolak siri cubaan memurtadkan dan mencemarkan agama Islam di negara ini.
“Kes DUMC (Gereja Methodist Damansara Utara) ini dilihat betapa pihak yang mendalangi usaha memurtadkan orang Islam ini semakin agresif dalam menggerakkan dakyah mereka,” kata Presiden Bersama Himpun Mohd Azmi Abdul Hamid pada sidang media di sini hari ini.
“Mereka dilihat semakin berani untuk mengkristiankan umat Islam secara terbuka dengan memberikan bantuan khidmat sosial, menganjurkan kelas tuisyen untuk kanak-kanak Islam yang diwarnai dengan dakyah Kristian, menganjurkan majlis makan malam atau majlis kesyukuran melibatkan umat Islam dalam menyampaikan ajaran mereka secara halus kepada umat Islam dengan bermacam-macam cara lagi,” tambah beliau.

Azmi yang juga mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) turut menolak penubuhan Himpun berkaitan dengan politik.
“Kami tidak terlibat dengan mana-mana fahaman politik, tetapi sekiranya mereka (ahli politik) ingin bekerjasama, kami mengalu-alukannya,” tambah beliau.
Sementara itu, Dr. Yusri Mohamad, seorang lagi Presiden Bersama sekretariat ini berkata Himpun bukti yang jelas bahawa umat Islam boleh bersatu dalam mempertahankan akidah mereka daripada diganggu gugat oleh sesiapa pun.

“Tanpa mengambil kira ideologi masing-masing, Himpun akan menyampaikan mesej dengan jelas kepada mereka yang berusaha untuk merosakkan akidah umat Islam supaya tidak mengganggu kami lagi,” katanya.
Yusri menambah, agenda utama Himpun bukan untuk bermusuhan dengan lain-lain agama di negara ini, tetapi lebih bertujuan untuk memantapkan akidah penganut agama Islam di negara ini.
“Kami menghormati hak-hak agama-agama lain, dan begitu juga mereka, tetapi kami tidak akan berkompromi sekiranya terdapat usaha untuk merosakkan pegangan akidah agama umat Islam di negara ini,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Himpun akan menganjurkan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober ini bagi menzahirkan pendirian mereka dengan jelas kepada masyarakat di luar sana.


No comments:

Post a Comment

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...