Seorang bayi lelaki lahir pada awal bulan November tahun 1989. Jeritan itu menggugah kecekapan seorang ibu yang menjadi bidan kepada anaknya sendiri. Anaknya yang sarat mengandung akhirnya melahirkan seorang bayi sihat, di rumah, dan menjadi penutup kepada generasi perempuan itu.
Bayi itu ialah aku.
Aku tercipta dalam rahim ibuku tanpa perancangan. Ketika itu ibuku berumur 42 tahun. Mujur masih subur dan sihat untuk mengandung, kalau tidak mungkin aku mengalami kecacatan semasa lahir. Alhamdulillah. Aku lahir setelah sekian lama rahim ibu tidak ‘diganggu’. Beza antara aku dan kembar sebelum aku agak jauh, 10 tahun.
Aku membesar dalam keadaan yang terasing daripada abang dan kakak. Cuma satu memori yang aku pernah terakam jelas dalam ingatanku ketika berusia 7 tahun, abangku mecabar untuk berlumba siapa yang pantas menggunakan uniform sekolah. Sebab pada ketika itu, abang dan kakakku bila menjengah umur belasan, mereka semua ke sekolah berasrama di Kuching. Ketika itu hanya ada satu sekolah menengah yang dibina di Asajaya, itupun dengan prasarana yang kurang lengkap. Hanya aku dan abang kembarku yang bersekolah di sekolah tersebut, namun kami tak pernah pergi sekolah sama-sama, sebab dia keluar sekolah, hanya beberapa tahun selepas itu baru aku mendaftar sebagai pelajar. Kesimpulannya, aku kurang mengenali siapa sebenarnya abang dan kakakku.
Seperti kebanyakkan keluarga, anak bongsu akan dapat perhatian yang lebih. Lebih-lebih lagi kalau dia seorang sahaja yang tinggal bersama ibu dan bapa. Begitulah aku. Kasih sayang ibu dan ayah tercurah dengan sepenuh perhatian mereka. Tiada lagi istilah persaingan antara adik beradik. Akulah raja, akulah putera, akulah anak yang dimanja-manja. Sebabtulah sampai sekarang sifat manja tu susah aku nak buang. (Dush)
Ketika umurku belasan tahun, semua kakak dan abangku sudah menubuhkan pasukan keluarga sendiri. Dan ketika usiaku dua tahun, kakak sulungku melahirkan generasi ketiga Ellin-Seah. Wau. Dah ada anak buah ketika umur 2 tahun. Dan sehinggalah sekarang umurku 22 tahun, aku sudah mempunyai 26 orang anak buah. Anak buah yang asli daripada abang dan kakakku. Yang paling tua, baru saja aku berjumpa tadi, sudah meningkat dewasa menjadi gadis kacukan belasan tahun yang cantik, sekarang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Cucu kebanggaan ibu dan ayahku. Selalu kalau balik kampung, dia dan adiknya akan gegas-gegas cari penyapu untuk sapu rumah. Sebab itulah ibuku sangat sayangkan cucunya yang satu ni.
Dalam keluarga kami, ada satu corak penamaan nama yang boleh dikatakan menarik. Tambah menarik, ia bukan suatu yang disengajakan ibu dan ayah. Kalau anak lelaki akan berakhir dengan huruf ‘n’ dan kalau anak perempuan akan berakhir dengan huruf ‘h’. Contohnya Ryaduan, Roslan, Pozan, dan Rasheedan. Manakala perempuan, Baidah, Rauyah, Ramlah, dan Normadiah. Akhiran ‘n’ dan ‘h’ ni mengikut akhiran ibu dan ayah, Ellin-Seah. Begitu juga dengan kelahiran, ibu dan ayah seolah olah pandai merancang kelahiran lelaki dan perempuan. Kami dilahirkan selang-seli lelaki dan perempuan. Baidah-Roslan-Rauyah-Ryaduan-Ramlah-Pozan-Normadiah-Rasheedan. Kan? Beza umur abang dan kakak ditetapkan 3 tahun. Kecuali aku dan kembar Pozan-Normadiah, bezanya 10 tahun. Selain kelahiran, corak pemilihan pasangan pun ada ‘pattern’nya tersendiri. Ketiga-tiga abang memilih untuk berkahwin dengan perempuan yang sama kampung. Dan ketiga-tiga kakak memilih untuk berkahwin dengan orang di luar kampung. Jauh-jauh lagi tu. Kakak yang sulung menikah dengan orang Kuching, kakak yang kedua menemui jodohnya ketika menuntut di UM, dia berkahwin dengan lelaki Jawa yang tinggal di Klang, dan kakak ketiga berkahwin dengan lelaki dari daerah Serian. Kenapa ya taknak lelaki sekampung? Dan menantu bongsu nanti adakah mewarisi corak gadis sekampung abang-abangnya? Wallahu’alam.
Kini
Usia ayahku mencapai 60 tahun, dan ibuku 64 tahun. Dua-dua pun perlukan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari anak-anaknya. Dengan keadaan kesihatan ayahku yang kadang-kadang kurang mengizinkan untuk bergerak, menggesa tulang belulang ibuku memerah keringat berkebun kelapa kampung. Dialah yang mengait kelapa, mengupas kelapa, mendalamkan parit, meracun rumput dan lalang. Belum lagi termasuk kerja-kerja rumah yang dia tanggungi. Dialah ibu terbaik pernah dan selamanya aku ada. Bila aku balik sahaja ke rumah, akan dia ceritakan nasi lemaknya yang laris dijual walaupun hanya diletak di depan rumah. Sudah semua nasi lemak di Satok yang aku cuba. Tiada lagi yang dapat mengalahkan sambal air tangan ibuku. Sambal ibu adalah yang terbaik. Sebab di dalam itu tercurah sekali kasih sayang dan keikhlasan dia berbuat. Pernah sekali aku bertanya, ibu buat nasi ni ada untung ke ibu? Dia menjawab, asalkan habis, mak dah cukup puas hati bagi orang kampung makan. Semoga Allah ganjarkan yang terbaik untuk ibu.
Kakak-kakak dan abang-abangku menguruskan keluarga mereka sendiri. Tinggal ibu dan ayah di rumah. Kadang-kadang jika terasa rindu, aku pasti mencucurkan setitik dua air mata sebab tidak dapat berbuat baik selalu kepada ibu dan ayah. Bukan setiap minggu aku dapat meluangkan masa bersama-sama. Pernah juga aku berkata kepada ibu, ibu, kenapa tak lahirkan aku terlebih dahulu daripada abang-kakak yang lain? Ibu hanya berkata itulah takdir engkau hidup bersama ibu ketika rambut ibu sudah memutih di kepala, ketika ayah sudah tak larat memulas ototnya mencari rezeki untuk kamu.
Untung menjadi yang bongsu, aku banyak belajar kisah kehidupan susah senang keluarga. Cara ibu dan ayah mendidik aku sungguh mudah, cukup dengan menceritakan kembali kisah-kisah menggugah jiwa abang-kakak yang lain, membuatkan aku merenung ke siling memikirkan apa aku perlu jadi dan buat. Menjadi kisah wajib ketika aku pulang ke rumah, ibu dan ayah akan cerita kisah-kisah abang di zaman bujang dan persekolahan, perangai dan sikap mereka yang kadang-kadang membuatkan ibuku menangis kembali jika dia bercerita. Ibu sering bercerita kisah-kisah abang yang ingin terus berkahwin setelah menamatkan persekolahan. Dan sempatlah terselit nasihat ibu, jangan berkahwin terus macam abang-abang, ibu tak nak, ibu nak kamu senangkan ibu dan ayah dulu. Jaga kami sementara masih ada.
Moga dengan sedikit cerita ini, mampu membuatkan aku lebih menghargai keluargaku yang aku sangat sayangi. Kerana di sinilah terjadinya aku, adakah mungkin untuk aku melupai?
waaaahhh.....
ReplyDelete