Sunday, May 29, 2011

Mukasurat 352


"Ayah, iqomah..." aku memulakan solat berjemaah.

"Haji, (gelaran ayah untuk ibu) iqomah..." ayah memajukan arahan kepada ibu.

"Eh, kenapa suruh saya pulak... orang lelaki lah..." arahan itu kembali kepada ayah.

"Allahuakhbar Allahuakbar..."
...

Malam itu aku tidak berjemaah di masjid belakang rumah. Ingin berjemaah dengan ayah dan ibu, mujur ada kesempatan cuti. Solat jemaah didirikan
di rumah. Kerana ayah sakit kaki, sukar berjalan. Gout yang dihidapinya muncul kembali pada pukul 3 pagi semalam. Ayah tidak dapat tidur.

Di kananku, ayah duduk di atas kerusi plastik berwarna merah, badannya membongkok kerana perutnya yang boroi berat ke hadapan.

Di kiriku, ibuku bertelekung putih, berdiri tegak. Wajahnya sedikit gelap kerana berpanas mengerjakan kelapa di kebun. Ibu sentiasa kuat. Lebih kuat daripada ayah.

Kami berjemaah solat maghrib di atas tikar getah baru rona biru yang baru kami beli dari Serikin. Aku juga menyarungkan baju melayu pria Indonesia rona putih tulang yang baru ibu belikan juga.

Selepas solat maghrib, aku merangkul buku "Anda Bertanya, Ustaz Menjawab, Mengenai Solat" karya Ustaz Rohodzir Rais, baru sahaja aku belikan dari MPH. Aku memberi salam dan membuka majlis tazkirah selepas maghrib itu dengan ummul kitab al-Fatihah.



Ayah dan ibuku mencapai bantal di tepi sejadah. Kelihatan penat setelah membantu kenduri di rumah Pak Long. Namun aku perlu juga teruskan tazkirah ini, sebab aku merasakan satu keperluan untuk aku sampaikan peringatan kepada ayah dan ibuku tentang Islam, tentang Iman, dan tajuk yang kupilih, tentang Solat. Lebih-lebih lagi posisiku sebagai anak bongsu, kuasa 'penawan' ayah dan ibu harus aku gunakan sebaiknya. Ayah dan ibu terbaring, beberapa minit sahaja, ayah berdengkur. Ayah... ayah...

Ibu mendengar, dan kadang kala mencelah tazkirahku.

"Kadang-kala kerana keduniaan, kita mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah, paling mudah kita melewatkan solat, meninggalkan solat..."

"Ibu tak lewatkan solat, ibu tak tinggalkan solat..." ibu merespon dengan cepat dalam nada sedikit bersalah. Tembakanku seolah-olah tepat.

"Ya ibu, daripada banyak solat kita lakukan, banyak mana yang kita tunaikan diawal waktu?, banyak mana yang kita tunaikan dengan sebenarnya ikhlas?"

"Yaa... dengar tu ayah? Hui, Ujang ceramah, tidur pulak"

"Ayah dengar, ayah pun cuba, ayah faham.." dengkur ayah berhenti dengan jawapan ini.

Tazkirahku diteruskan. Ibu berkontemplasi, renungannya ke lantai penuh sungguh dalam, merentas ke mantel bumi. Aku mengerti, ayah dan ibuku bukanlah punyai latar belakang yang beragama, namun mereka tetap bersedia untuk tingkatkan kesedaran. Ibuku selalu menceritakan, ayahnya (datuk) dulu hanya mengajarkan dia mengaji al-Quran. Tiada perihal solat ataupun kandungan dan terjemahan al-Quran.

Tazkirah bersambung lagi.

"Sebab itulah ibu, keluarga yang kuat bermula dari pengamalan solat berjemaah. Seorang ayah dan suami yang bertanggungjawab akan memanfaatkan solat berjemaah untuk mendisiplinkan anak dan isteri, memberikan pedoman setelah solat berjemaah, dan mengeratkan kasih-sayang dengan amalan bermaafan setelah solat. Kalau ibu lihat keluarga kakak dan abang macam mana. Cuba ibu lihat beza keluarga yang 'bersolat' dan yang melecehkan 'solat'. Ibu dapat lihat macam mana anak dan isteri atau suami abang-kakak?" aku memberikan ruang kepada ibu untuk menganalisis. Walaupun bunyinya ideal, namun inilah yang aku ungkapkan dalam tazkirah itu. Aku pun hampir tidak percaya aku ada keberanian itu.

"Sebab itulah ibu, Ujang cepat-cepat nak ada keluarga sendiri." akhirnya, terkeluar frasa berani mati ini. Adakah ini cubaan melobi? Aku berfikir balik kata-kata aku. Betulke ni?

"Amboii.." ayah tersedar. Dengkurnya berhenti kembali. Senyumannya diekori anak tawa walaupun matanya tetap terpejam. (Ayah!)

"Dah ada ker?" muka ibu berubah. Bimbang. "Ancaman" menantu
bukan sekampung seolah-olah berawan-awan di atas kepalanya.

"Ibu risau lagi?" aku menduga.

"Anak Cikgu Meot tu baik jer orangnye. Taat. Pakai tudung..." ibu memberikan calon sekampung.

Sekali lagi, kuasaku 'penawan'ku sebagai anak bongsu seharusnya digunakan sebaiknya. Aku cuma perlu berikan kefahaman kepadanya. Kalau dah faham, insyaAllah, Miri ke, dari semenanjung, tak jadi masalah.

"Ujang cakap kalau ada... Tak da lagi. Kalaulah ada bu..."

Kefahaman terus diberi. Ini cubaan melobi kali kedua. InsyaAllah kalau telah biasa, ibu akan 'mengalah'. Ehehe.

"Ayah tak kisah dari mana, dari Mesir pun ayah tak kisah.. haha.." ibu tersenyum.

Ayah pandai menceriakan keadaan. Walaupun kebanyakan masa tazkirah ayah pejamkan mata. Mungkin sebab itu ayah berjaya menawan hati ibu sampai sekarang.

"Kalau dah macam tu, nak buat macam mana. Nanti kalau mak pilih, apa-apa terjadi, mak takut kau salahkan mak pulak" kata-kata ibu ini sedikit syahdu.

Kami terdiam. Azan isyak berkumandang. Ibu bingkas memperbaharui wudhu'nya. Aku memerhati wajah ayah. Dia tersenyum kelat, penuh makna. Sinis pun ada.

Ayah iqomah terus setelah azan. Alhamdulillah ada perbaikan.

Isya' itu aku mengalunkan surah an-Nur muka surat 352.

Dalam hatiku penuh senyuman.

Ibu, ayah, pakngah, dan makngah.

Rumah Maksu ada wireless,
Rashid al-Shirfani.

1 comment:

Sebarang cadangan dan pendapat boleh kemukakan di sini...

Anda juga mungkin meminati...